KUALA LUMPUR, Isnin 15 Okt. - Naib Ketua Pergerakan Pemuda Keadilan Malaysia (Keadilan) Hamdan Taha hari ini mengumumkan peletakkan jawatannya dalam parti itu – hanya kurang lebih tiga minggu sahaja lagi menjelang perhimpunan agung yang bakal menyaksikan pemilihan semula jawatan di semua peringkat kepimpinan.
Dalam pengumumannya kepada media massa hari ini, beliau turut meletakkan jawatan sebagai ketua Keadilan Bahagian Teluk Intan dan juga sebagai timbalan pengerusi Badan Perhubungan Keadilan Negeri Perak.
Hamdan
yang merupakan salah seorang pengasas Keadilan yang ditubuhkan pada 4 April 1999
dan juga merupakan satu-satunya ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian (Teluk
Intan) yang menyertai Keadilan menyatakan keputusannya untuk meletakkan jawatan
adalah atas dasar prinsip sebagaimana beliau menyertainya dua tahun lalu.
“Saya bertindak demikian yang pertama atas dasar prinsip kerana saya tidak setuju dengan beberapa perkembangan dalam parti sejak akhir-akhir ini dan yang kedua ialah saya telah mengambil keputusan untuk tidak bergerak aktif dalam politik,” katanya.
Menurut Hamdan beliau tidak mempunyai banyak pilihan melainkan untuk meletakkan jawatan bagi membolehkan beliau bercakap secara terbuka dan terus terang mengenai perasaannya berhubung perkembangan dalam Keadilan.
“Adalah tidak kena dari segi prinsip jika saya mengkritik parti sedangkan saya adalah sebahagian daripada kepimpinan…oleh itu meletakkan jawatan adalah jalan terbaik untuk saya bersuara buat masa ini,” ujarnya.
Pertembungan kuasa diantara Jim(jemaah Islam Malaysia) dan Abim( Angkatan Belia Islam Malaysia) merupakan titik nohtah yang membuatkan saya berfikir tentang perjuangan Keadilan sebenarnya . Mereka melakukan perjuangan atas dasar individu.
Dengan keputusan ini juga, beliau tidak akan mempertahankan kerusi naib ketua pada pemilihan parti 9 November depan.
Bagaimanapun kata Hamdan, tindakannya ini tidak ada kena mengena langsung dengan mana-mana individu dalam Keadilan.
Kepada satu soalan sama ada Ezam M. Nor selaku ketua Pemuda merestui keputusannya itu, Hamdan menegaskan bahawa beliau amat menghormati Ezam dan berharap beliau (Ezam) memahami kenapakah keputusan ini terpaksa dibuat.
“Saya amat menghormati Ezam dan merasa kesal kerana tidak dapat menyerahkan surat peletakkan jawatan ini secara peribadi kepadanya tetapi apa yang penting bagi saya sekarang ialah Ezam mengenali siapa saya dan beliau tidak akan terkejut dengan keputusan saya ini…yang lain-lain tu saya serahkanlah kepada kebijaksanaan masing-masing untuk mentafsirkannya,” kata Hamdan.
Ketika ditanya apakah yang beliau maksudkannya dengan perkataan “prinsip” apabila membuat keputusan untuk meletakkan jawatan, Hamdan berkata, beliau merasa kecewa dan kesal apabila politik berpuak-puak dan politik kabilah menjadi mainan dalam Keadilan sekarang apabila pencalonan untuk pemilihan dalam pucuk pimpinan pusat bermula bulan ini.
Pada perhimpunan agung itu nanti, para perwakilan buat pertama kalinya akan mengundi untuk memilih pemimpin di peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Pergerakan Pemuda dan Wanita.
“Politik berpuak-puak di dalam Keadilan( JIM dan ABIM) sekarang cukup mengaibkan dan ini membuat saya cukup kecewa kerana sebelum ini Keadilan menjadi istimewa kerana ia mengabungkan semua fraksi dan perkumpulan seperti kalangan politikus, penggerak NGO dan juga aktivis sosial tetapi sejak kempen pemilihan ini berjalan, apa yang berlaku adalah sangat mendukacitakan malah lari dari semangat asal kenapa Keadilan ditubuhkan,” ujar Hamdan.
Menurut beliau, terdapat satu gerakan untuk meminggirkan bekas-bekas pemimpin Umno yang menyertai Keadilan oleh sekumpulan aktivis dari sebuah organisasi bukan kerajaan dalam Keadilan dan gerakan seperti ini katanya cukup merbahaya kepada masa depan parti itu. Gerakan itu nampaknya tidak lagi memperjuangkan ISU Anwar Ibrahim . " They are all power crazy ujarnya.
Beliau mendakwa sekiranya fraksi ini berjaya menguasai kepimpinan parti bulan depan, adalah dikhuatiri rancangan untuk mengabungkan Keadilan dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM) sebagaimana yang dikehendaki oleh majoriti ahli dan juga penasihat parti, Datuk Sri Anwar Ibrahim akan berkecai.
“Ini menjadikan Keadilan lari daripada prinsip asalnya iaitu untuk membentuk budaya politik baru dengan imej sebuah parti pelbagai kaum. Malah jika satu puak sahaja yang menang ini akan menghancurkan budaya politik baru yang hendak dibawa oleh Keadilan,” tegas Hamdan lagi.
Selain dari itu, kata Hamdan, beliau juga mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan kerana urusan pengurusan dan pentadbiran Ibu Pejabat Keadilan yang amat lemah dan masih tidak dapat menyelesaikan isu keahlian sehingga sekarang.
Ini, katanya, telah menjadikan bahagian-bahagian yang akan mengadakan mesyuarat perwakilan berhadapan dengan pelbagai kesulitan kerana mereka tidak dapat mengeluarkan watikah keahlian bagi mengesahkan kehadiran ahli pada mesyuarat berkenaan.
“Masalah ini dihadapi oleh banyak bahagian termasuklah bahagian saya sendiri di Teluk Intan malah ada yang mendaftar sebagai ahli pada hari Keadilan dilancarkan 4 April 1999 tiba-tiba hari ini mendapati nama mereka tidak wujud dalam senarai kerana tiada watikah keahlian dengan nombor ahli yang dikeluarkan. Ini menjadikan mereka keliru sama ada mereka boleh mengambil bahagian dalam mesyuarat perwakilan bahagian atau tidak,” ujarnya.
Kepada satu soalan sama ada surat peletakkan jawatannya itu sudah diterima oleh presiden parti dan juga ibu pejabat, Hamdan berkata, beliau telah pun menghantarnya pada hujung bulan lalu tetapi sehingga saat ini tidak mendapat maklum balas daripada ibu pejabat mahu pun presiden.
Mengenai soalan apakah tindakan Dr Chandra Muzaffar untuk tidak mempertahankan jawatannya sebagai timbalan presiden juga ada kena mengena dengan apa yang beliau nyatakan hari ini, Hamdan berkata beliau tidak mungkin boleh menjawab soalan itu bagi pihak Dr Chandra tetapi percaya bekas tokoh akademik itu juga punya alasannya yang tersendiri.
Beliau berharap para perwakilan ke Perhimpunan Agung Keadilan 9 hingga 12 November ini akan dapat membuat keputusan dengan penuh bijaksana dan tidak membelakangkan prinsip asal penubuhan Keadilan.
“Sebagai salah seorang pengasas parti ini saya minta semua perwakilan duduk dan fikir sejenak serta semasak-masaknya sama ada mereka mahu Keadilan menjadi rosak dengan politik kabilah dan perpuakan atau mahu meneruskan perjuangan asalnya sebagai sebuah parti pelbagai kaum dengan budaya politik baru yang selama ini diagung-agungkan dalam setiap ceramah mereka,” tegas Hamdan.